Mei 28, 2009

Ideologi Politik, Ideologi Ekonomi dan Prinsip Manusia

Ideologi
-
Ideologi adalah satu set sasaran, pandangan dan buah fikiran tentang pergerakan, bentuk perlaksanaan dan sasaran ke atas aktiviti manusia. Paling lajim ideologi dikemukakan ke atas aktiviti politik dan ekonomi.
-
-
Ideologi Politik
-
Ideologi politik adalah bentuk amalan sesuatu aktiviti politik, lajimnya berkenaan bentuk sesebuah pentadbiran kerajaan. Antara ideologi politik yang wujud adalah demokrasi, autokrasi, theokrasi, sosialis dan komunis. Setiap ideologi mengemukakan bentuk perlaksanaan dan sasaran dalam aktiviti polik dan kerajaan.
-
-
Ideologi Ekonomi
-
Suatu bentuk amalan ekonomi berasaskan perlaksanaan dan sasaran tertentu adalah ideologi ekonomi. Lajimnya ada tiga bentuk ideologi ekonomi paling menonjol iaitu kapitalis, sosialis dan komunis. Ideologi ini berkait-rapat dengan kewujudan ideologi politik kerana kewujudan politik adalah bersandarkan pada kewujudan ekonomi, dan sebaliknya.
-
-
Prinsip Manusia
-
Prinsip manusia adalah asas kepada setiap bentuk keputusan hasil dari amalan dan aktiviti manusia yang melahirkan nilai. Prinsip adalah kekal dan tidak berubah. Prinsip akan perlihatkan sesuatu amalan dan perbuatan manusia itu nilainya sama ada kebaikan atau kezaliman, dosa atau pahala. Prinsip adalah pemisah antara manusia dengan hidupan lain.
-
-
Ideologi dan prinsip berkait-rapat. Setiap perilaku dari ideologi akan lahirkan nilai, dicerminkan oleh prinsip sama ada baik atau zalim, dosa atau pahala.

Mei 15, 2009

Pilihanraya Perak Boleh Selamatkan UMNO

Cerita "Dua Perak" sudah terlalu lama berlaku dan masih belum selesai. Cerita pasal dua Menteri Besar, Dua Barisan Exco, Dua Tuan Speaker, Dua Sidang Dewan Undangan Negeri masih belum selesai di Perak. Tidak perlulah diberitahu apa, mengapa dan bagaimana boleh berlaku kerana boleh menambah sakit hati khususnya rakyat Perak. Apa yang paling penting buat semua adalah untuk selesaikan permasalahan ini melalui cara yang telus dan adil.
-
Krisis di Perak telah menjadikan pentadbiran tertinggi negeri kucar-kacir. Masakan tidak dalam beberapa ketika, pentadbiran kerajaan negeri boleh berubah dengan sekelip mata. Perkara ini sudah berlaku dan bakal berlaku lagi. Keadaan "yo-yo" dalam pentadbiran tertinggi negeri Perak menyebabkan seluruh sistem pentadbiran suram. Jikapun ada usaha dilakukan, ianya mungkin sia-sia kerana pihak sebaliknya mungkin akan membatalkan segala perancangan dan keputusan yang telah dibuat.
-
Keadaan ini memberi kesan buruk kepada rakyat dan negeri Perak. Laporan MIDA menunjukkan jumlah kemasukan modal ke Perak merosot dengan mendadak. Perlu diingat, Perak bukan lagi Perak yang dahulu. Perak dahulu memiliki sumber alam yang mewah, dari timah hinggalah ke bijih besi. Perak kini tidak lagi semewah dahulu dan perlu diurus dengan cermat, jimat dan teliti bagi pastikan kewangan negeri mencukupi.
-
Umum secara terus meletakkan permasalahan Perak adalah silap UMNO, parti kompenen BN yang terlalu rakus untuk menerajui Perak. UMNO menggunakan kaedah kuda trojan berjaya mendapatkan tiga ekor katak, menjadikan BN memiliki majoriti DUN. Bagaimanapun, kegelojohan UMNO memohon penukaran pentadbiran negeri merupakan titik tolak perkara ini. Masakan tidak, menteri besar masih ada tetapi terus dilantik seorang lagi menteri besar yang baru. Begitu jugalah halnya dengan barisan Exco, Sidang DUN dan Tuan Speaker. Semuanya bercelaru dan natijahnya rakyat yang menangung susah.
-
Gesaan pihak lawan BN untuk bubarkan DUN adalah wajar demi untuk rakyat Perak dan UMNO. Pembubaran DUN diyakini oleh ramai pihak sebagai penyelesaian permasalah Perak. Pembubaran DUN mampu bersihkan segala kekotoran yang berlaku terutama bila menyentuh perihal Perlembagaan Malaysia, sumber rujukan dan panduan kewujudan Malaysia.
-
Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO ada menyatakan bahawa BN akan kalah teruk jika pilihanraya diadakan. Mungkin kerana ini maka UMNO sedaya-upaya mengelakkannya. Bagaimanapun, mengekalkan keputusan sedia-ada sebenarnya memberikan lebih banyak keburukan kepada UMNO dan BN berbanding kekalahan di Perak. Permasalahan di Perak bukan lagi perihal kuasa eksekutif semata-mata tetapi turut mengheret cabang kehakiman dan Raja-raja.
-
Keadaan berterusan ini walaupun hanya lebih banyak melibatkan UMNO memandangkan rakan BN lain tidak memiliki kerusi yang banyak dalam DUN Perak, tetapi tetap memberi imej buruk kepada mereka khususnya MCA dan GERAKAN. Perak merupakan negeri tinggi jumlah warga Malaysia penutur Mandrin (istilah Cina hanya untuk warganegara Republik Rakyat China), yang menjadi punca sokongan kedua-dua parti terbabit. Tidak mustahil jika berterusan, operasi kedua-dua parti terbabit di Perak akan dibubarkan. Oleh demikian, MCA dan GERAKAN dikatakan telah meminta agar DUN Perak dibubarkan. Dikhuatiri jika tidak dilaksanakan, MCA dan GERAKAN akan keluar BN bagi selamatkan parti.
-
UMNO, yang meletakkan perjuangan warga Malaysia penutur Melayu dan Islam sebagai tunjang utama perlu tahu bahawa sokongan rakyat semakin terarah kepada pakatan lawan. UMNO bukan lagi pilihan dikalangan warga muda kerana UMNO dilihat sebagai sebuah parti kuku besi, tidak demokratik dan rasuah. Fakta ini disokong oleh warga muda dengan menunjukkan pemilikan harta pemimpin UMNO seperti rumah mewah, pakaian dan kenderaan. Warga muda juga menyalahkan UMNO kerana gagal meningkatkan kekuatan negara khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Sering kali warga muda akan bandingkan percapaian negara dengan jiran seperti Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong.
-
UMNO tidak boleh tidak perlu sokong dan gesa semua pihak agar DUN Perak dibubarkan dan pilihanraya dilalukan secepat mungkin. Kekalahan bukanlah sesuatu yang menyakitkan atau memalukan jika dibandingkan dengan kehilangan sokongan dari rakyat. Lebih parah lagi jika rakan dalam BN berpaling arah, mungkin akan memberikan pakatan lawan kerusi Perdana Menteri. Apa yang penting buat UMNO kini bukanlah pentadbiran atau DUN Perak tetapi pulihkan imej parti dan mantapkan sokongan dari rakyat dan rakan BN. UMNO sebagai parti warga penutur melayu wajib tahu dan amalkan peribahasa "Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian; Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".
-
-
Nota:-
Ada ura-ura mengatakan UMNO telah bersetuju untuk menerima cadangan dari rakan BN supaya DUN Perak dibubarkan dan seterusnya pilihanraya semula dilakukan. Diharap ianya sesuatu yang benar kerana tiada cara penyelesaian terbaik dalam perihal tersebut kecuali kembalikan mandat kepada rakyat Perak. Tuanku Sultan Perak sudah pasti akan perkenan permintaan pembubaran jika semua pihak sepakat mahukannya.

Mei 08, 2009

Bila Nasi Jadi Bubur, Bubur Jadi Basi

Aku bukanlah seorang pengamal atau pengkaji undang-undang. Perkara berkaitan amalan dan kajian undang-undang amat susah bagi aku. Tetapi, sebagai warganegara Malaysia yang peka, aku cuba sedaya-upaya memahami undang-undang walaupun hanya pada asasnya sahaja.
-
Undang-undang Malaysia terbentuk dari satu garis panduan asas dipanggil Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan yang terhasil gabungan intipati sesuai dari sistem "Common Law" British, sistem perlembagaan negara-negara Komanwell, sistem undang-undang adat bumiputera dan sistem perundangan islam telah diperakui dan diguna-pakai sebaik kewujudan Malaysia.
-
Perlembagaan Malaysia menjadi asas dan punca kepada kewujudan Malaysia. Perlembagaan jelas menggariskan hak, pemilikan kuasa dan perkara tadbir urus negara. Antara yang paling ditekan dalam Perlembagaan Malaysia adalah amalan pemisahan kuasa cabang-cabang kuasa iaitu antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman. Setiap cabang diperuntukkan kuasa dan tidak boleh mencampuri antara satu sama lain kecuali perkara-perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia.
-
Krisis yang berlaku Di Perak menarik perhatian aku kerana dirasakan wujud kesangsian kepada amalan pihak-pihak terlibat ke atas perkara-perkara dalam Perlembagaan Malaysia khususnya amalan pemisahan kuasa. Krisis di Perak menimbulkan persoalan dan kekecohan kerana berlakunya perkara penting berikut:
  1. Kedudukan Menteri Besar (selaku Ketua Eksekutif),
  2. Kuasa dan kedudukan Tuan Speaker (selaku Ketua Perundangan).

mana satu tulen mana satu palsu
-
Menteri Besar
-
Selaku Ketua Eksekutif, Menteri Besar dipilih dari kalangan ahli Dewan Undangan Negeri, mendapat majoriti sokongan dari ahli dewan dan dilantik oleh Ketua Negeri iaitu Sultan Perak. Namun persoalannya adakah kuasa yang sama boleh digunakan oleh Ketua Negeri untuk memecat Menteri Besar? Jika tafsiran Artikel 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak digunapakai, perkataan "shall tender resignation" perlu dijelaskan. Bagaimanapun, perkara sama berlaku di Sarawak dalam kes Stephen Kalong Ningkan vs Tun Abang Openg & Tawi Sli, 1966, perkataan "shall tender resignation" merujuk kepada nasihat bukannya arahan. Dalam kes ini, Artikel 7(1) Undang-Undang Negeri Sarawak digunapakai.
-
Jika pun seseorang Menteri Besar sudah hilang sokongan majoriti ahli dewan dan gagal peroleh perkenan Sultan untuk bubarkan Dewan Undangan Negeri, hanya satu persidangan dewan yang sah dan sahih boleh digunapakai untuk membuat satu usul undi tidak percaya ke atasnya. Jika gagal juga, maka Menteri Besar terbabit masih sah sehinggalah undi tidak percaya ke atasnya berjaya dilakukan, Dewan Undangan Negeri bubar, meletak jawatan dan meninggal dunia.
-
-

boleh masuk rekod dunia, cara pemecatan speaker dewan paling kejam di dunia
-
Tuan Speaker
-
Seperti juga Menteri Besar, Tuan Speaker dilantik dari kalangan ahli dewan dengan sokongan majoriti ahli dewan. Sebagai Ketua Dewan, Tuan Speaker mempunyai kuasa yang luas dalam perihal urus-tadbir dewan, kelakuan ahli dewan dan urusan persidangan. Di Perak, seolah-olah kuasa ini tidak digunapakai apabila timbul persoalan berikut:-
-
a. Kuasa Tuan Speaker ke atas pengesahan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri,
b. Kuasa Tuan Speaker dalam menggantung ahli dewan dari persidangan dewan,
c. Kuasa Tuan Speaker dalam memanggil sidang dewan,
d. Kuasa Tuan Speaker dalam menerima dan menolak usul sebelum dipersidangkan,
e. Kedudukan Tuan Speaker dalam hal-hal perlantikan dan pemecatan,
f. Kuasa Tuan Speaker dalam hal-hal penurunan kuasa kepada Timbalan Speaker.
-
Keadaan bertambah rumit apabila badan kehakiman diheret sama dan ternyata gagal selesaikan permasalahan kerana akhirnya keputusan mahkamah hanya melibatkan semakan prosedur bukannya keputusan dewan dan Tuan Speaker.

Penafian

Segala tulisan adalah atas pemerhatian dan pandangan peribadi penulis artikel. Sebarang kesilapan dan apa-apa komen yang menyalahi undang-undang adalah tanggungjawab pemberi komen. Pemilik laman tidak bertanggungjawab ke atas komen- komen tersebut.